Halaman

Ads 468x60px

Featured Posts

25 Oktober 2011

jom berlari

Larian Waktu terlalu pantas. Tidak terkejarkan. Ia ibarat pedang yang memotong kehidupan. Waktu yang terpotong hanya boleh diabadikan. Waktu yang diabadikan adalah tulisan kehidupan. Tulisan kehidupan mungkin dapat memberi makna, menjentik intuisi, memperkaya inspirasi,merakam masa lalu dengan kesyukuran, masa depan penuh harapan

17 Oktober 2011

Islamic Clock - Allah Muhammad Round - Alhabib Islamic Web Service and Accessories

Islamic Clock - Allah Muhammad Round - Alhabib Islamic Web Service and Accessories

15 Februari 2011

USRAH TUNJANG JEMAAH

Usrah merupakan tunjang sesuatu jemaah. Kalau usrah kemas dan berjalan dengan baik natijahnya jemaah itu kuat dan kukuh, tetapi kalaulah perjalanan usrah itu lembab dan tak bermaya, akan lahirnya jemaah yang lemah dan tak berkembang.

Kepentingan usrah ini tidak dinafikan lagi kerana apabila kita lihat pada awal perjuangan Rasulullah s.a.w., baginda sangat mengambil berat tentang usrah di samping baginda berjalan dalam keadaan yang sirri (senyap). Ini dapat dilihat apabila Rasulullah memilih bait Arqam bin Arqam sebagai tempat usrah. Arqam ini seorang budak kecil yang memang tidak dijangka oleh orang kafir bahawa Rasulullah melaksanakan usrah di rumahnya. Kita lihat ini satu taktik atau sirriah yang dibuat oleh baginda.
Kepentingan usrah ini jelas lagi bilamana pejuang-pejuang Islam sebelum kita melihat proses usrah yang dibuat oleh Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Apabila kita membaca perjalanan usrahnya, kita dapati beliau sangat mengambil berat terhadap anak buahnya. Boleh dikatakan beliau akan bertemu dengan anak buahnya setiap hari walaupun cuma beberapa minit, tidak kira malam, pagi-pagi buta, atau sebagainya kerana prinsip beliau yang amat penting sekali sekadar bertemu mata antara dengan anak buah akan menimbulkan rasa ukhuwah dan semangat yang kuat dalam berjuang. Proses seperti inilah yang harus kita ambil contoh dalam kita mengendalikan perjalanan usrah.
Dengan sebab itulah kita jangan sekali-kali menjadikan usrah sebagai usaha sampingan sahaja, tetapi anggaplah usrah sebagai aset yang terpenting dalam jemaah kita—kerana usrah yang berjaya itu melahirkan jemaah yang kuat dan berkualiti, insya-Allah.Oleh hal yang demikian, wahai pejuang-pejuang Islam tercinta, kenallah diri dan muhasabah selalu.

* Di manakah kerja-kerja Islam yang telah kita lakukan untuk ummah ini?

* Siapakah diri kita yang sebenarnya?

* Apakah tanggungjawab kita dijadikan oleh Allah?

Seterusnya ingatlah janji-janji Allah yang akan membantu kita bilamana kita membantunya. Janganlah berasa ragu-ragu lagi dalam perjuangan suci ini, kerana dalam perjuangan, kita perlu berpegang pada dua prinsip sama ada kita menang atau syahid.

BANYAKKAN PROGRAM TARBIAH !

Ketahuilah wahai sahabatku bahawa tarbiah merupakan aset yang sangat penting dalam sesebuah gerakan Islamiah. Proses pentarbiahan yang berkesan akan melahirkan jundullah yang tabah, kental hati, sabar dalam perjuangan serta kuat berjuang.

Jika kita melihat proses pentarbiahan yang Rasulullah s.a.w. lakukan dalam liku-liku perjuangannya, kita dapati pentarbiahannya cukup berkesan. Natijahnya kesan pentarbiahan 23 tahun Rasulullah s.a.w. melahirkan sahabat-sahabat yang sanggup berjuang menggadaikan jiwa serta harta benda untuk jalan Allah. Kita lihat sahaja sahabat baginda, Bilal bin Rabah yang dihukum oleh tuannya dengan hukuman yang cukup sengsara di kawasan lapang yang panas, hanya mempertahankan keesaan Allah S.W.T.

Kita lihat juga bagaimana Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar, memerpsatukan mereka sehingga wujud ukhuwah yang hebat di antara kaum Muslimin.Sehingga diceritakan ada sahabat Nabi beristeri dua sanggup menceraikan salah satu dari isterinya untuk diberi kepada saudaranya dari kalangan Muhajirin.

Inilah pengorbanan sahabat Rasulullah yang lahir daripada pentarbiahan yang cukup kuat.Kalau kita bandingkan dengan kita hari ini, sudah semestinya sangat berbeza. Sedangkan harta benda pun kita tak dapat menginfakkan untuk Islam, apatah lagi isteri kesayangan seperti mana yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.

Oleh hal yang demikian, kita seharusnya dan semestinya sentiasa dan lebih menekankan soal pentarbiahan kerana kelemahan mana-mana jemaah Islamiah bertitik tolak daripada proses pentarbiahan yang begitu lemah dan tidak diambil berat. Sebab itulah kita lihat oraganisasi Islam lebih menekankan tarbiah demi membaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

Kita sebenarnya tidak mementingkan sangat soal kuantiti untuk masa terdekat ini, tetapi walaupun jumlah kita sedikit, apabila disertakan dengan proses pentarbiahan yang kuat, insya-Allah yang sedikit inilah akan melahirkan generasi pelapis yang banyak untuk masa hadapan. Oleh yang demikian banyakkan program yang berbentuk tarbiah demi masa depan yang cerah.

p/s – Saya sedang membaca thesis master yang ditulis oleh Erica Miller ( Master of Arts in Law and Diplomacy Thesis ) yang sedang mengkaji Parti Islam Semalaysia. Siapa yang ingin mendapatkannya, sila pm saya.

PENTADBIRAN USRAH

Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas dan jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian usrah boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.

Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:

* Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.

* Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.

* Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba’ dan ahli.

Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:

* Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam?

* Sejauh mana konsep al-ta’awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam?

* Sejauh mana ikatan dibentuk?

* Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?

Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za’imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur’an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).


Dipetik dan diubah suai daripada risalah “Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiah Islamiah” oleh Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan Pusat.

Wahai sahabatku, sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.

USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.

Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat ukhuwwah al-Islamiyah.

Proses pembentukan itu bermakna penekanan dan perbincangan dalam usrah yang mencakupi dalam satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang lengkap lagi melengkapi. Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan perbuatan secara berjamaah.

Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan ‘amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) dengan tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.

Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasi oleh kebatilan yang dirancang rapi. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.

Andaikata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu. (Al-Mukminuun ayat 71)

TUJUH PANDUAN UNTUK NAQIB

Panduan 1: Kenali Ahli Usrah. Naqib perlu mengenali ahli usrahnya dengan mendalam. Selidiki latar belakang mereka: diri, keluarga, pendidikan, pekerjaan, perkara yang disukai, perkara yang dibenci dan sebagainya. Ikuti perkembangan hidup mereka: kebajikan, kewangan dan seumpamanya. Maklumat-maklumat itu boleh digunakan untuk mentadbir usrah secara lebih berkesan. Berpandukan maklumat itu, naqib boleh bertindak dengan tepat–sesuai dengan peribadi tertentu.


Panduan 2: Rancang Program Pengisian. Naqib mesti merancang program usrahnya sebelum usrah itu bermula. Antaranya, agihkan masa yang sesuai untuk slot bacaan al-Quran dan pentafsirannya, bacaan hadis, perbincangan tajuk khusus, pembersihan hati, dan hal ehwal semasa. Tetapkan terlebih dahulu tajuk yang hendak dibahaskan dan bahan-bahan rujukannya. Senaraikan juga perkara-perkara untuk diumumkan kepada ahli usrah. Naqib juga perlu membaca bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.


Panduan 3: Segarkan Usrah dengan Suasana Perbincangan. Naqib berperanan untuk menyegarkan suasana usrah dengan perbincangan yang sihat dan terkawal. Pastikan perbincangan berfokus pada tajuk yang telah dirancang. Semasa berbincang, ahli digalakkan mengemukakan nas-nas yang sahih dan contoh-contoh dari sirah Rasulullah s.a.w. Usahakan agar perbincangan itu dikaitkan dengan realiti semasa dapat dihayati dalam kehidupan seharian.


Panduan 4: Bertindak sebagai Pemimpin Tempat Bernaung. Naqib perlu menjadi qudwah hasanah kepada ahli-ahlinya dalam segala segi baik perbuatan, percakapan, perbelanjaan, cara bergaul dan berpakaian. Jalinkan ukhuwah sesama mereka, dalam atau luar usrah. Naqib juga perlu bertindak selaku kaunselor. Berbincanglah dengan mereka secara persendirian atau berkumpulan. Tanda awal seseorang naqib itu berjaya ialah apabila para ahli menjadikan dirinya sebagai tempat merujuk.


Panduan 5: Berikan Kerja kepada Ahli. Naqib perlu memberikan tugasan yang sesuai dengan minat dan kemahiran ahlinya. Ahli itu akan berasa dihargai apabila diamanahkan dengan sesuatu tugas untuk kumpulannya. Ahli itu perlu diselia secara wajar dan minimum oleh naqib. Dengan cara ini, ahli usrah akan belajar berkomunikasi dengan lebih banyak orang dan sentiasa membina hubungan dengan naqib.

Panduan 6: Pelbagaikan Kesan Sampingan. Naqib boleh juga mendidik ahli usrah dengan cara-cara lain. Antara cara yang sesuai adalah seperti yang berikut:

· 6.1 Soalan. Kemukakan soalan kepada ahli-ahli usrah tentang tajuk-tajuk yang telah dibincangkan, termasuk isu semasa.

· 6.2 Penyelesaian Masalah. Kemukakan masalah yang berkaitan dengan kehidupan seseorang ahli untuk diselesaikan. Contohnya, jika ahli itu pekerja yang sibuk, bincang dan selesaikan masalah agihan masa untuk tugas dan dakwah. Kes spesifik atau cerita boleh juga dikemukakan.

· 6.3 Permainan. Adakan “permainan” yang dapat menguji kepintaran ahli-ahli usrah. Permainan itu boleh menggunakan komputer, secara bertulis, lisan, mengira dan sebagainya. Pendekatan ini dijangka dapat mengekalkan minat ahli-ahli usrah.

· 6.4 Berkhemah dan Berkelah. Kegiatan perkhemahan di pinggir hutan atau perkelahan di pantai sangat berkesan dalam membina ikatan persaudaraan sesama ahli usrah. Kegiatan-kegiatan seperti ini memberi peluang untuk mereka berinteraksi, melakukan kerja secara berpasukan dan membina sikap suka tolong-menolong.

Panduan 7: Sediakan Laporan Penilaian. Naqib perlu melakukan penilaian dari semasa ke semasa. Prestasi ahli-ahli usrah dari segi kefahaman, kesungguhan, potensi, minat, kelemahan, kekuatan perlu dinilai dan dilaporkan kepada mereka. Naqib sendiri perlu meminta komen daripada ahli-ahli usrah tentang cara pengendaliannya, tajuk perbincangan dan sumber rujukan. Berdasarkan komen itu, langkah penambahbaikan boleh dirancang dan dilaksanakan.


Adaptasi (ringkasan dan penyesuaian) daripada tulisan Ummu Azmi, “Petua Menjadi Ketua Usrah Yang Berjaya” dalam majalah Ummi, Julai 1990, 34-35.

Catatan Penulis :

Penulis teringat semasa penulis mengaplikasikan usrah itu dalam bentuk permainan bola sepak semasa Mukhayyam Hidupkan Ramadhan.Penulis jadi ketua bola sepak.Alhamdulillah, walaupun kumpulan kami berbadan kecil tetapi kami mampu mempertahankan gawang kami dari dibolosi.Kami tidak menang tapi kami seri.

Pada akhir perlawanan, saya memanggil semua dan memberi sedikit usrah kepada ahli kumpulan. ” Sahabatku, hari ini kita lihat apabila kita bekerjasama dalam satu pasukan, kita boleh mempertahankan pasukan kita dari kalah.Tapi silap kita, kita kurang penyerang yang hebat. kita andaikan permainan bola sepak tadi sebagai perlawanan kita dengan musuh2 Islam kita. Kita lihat musuh2 Islam kita menyusun berbagai strategi untuk mengalahkan kita. Tapi kita bersatupadu, dan kita dapat mengalahkan mereka.Kita juga lihat tadi, masing-masing memainkan peranan penting.Ada yang jadi bek; ada yang jadi tengah dan ada jadi goal keeper.Dan semuanya bekerjasama, patuh kepada ketua. Begitulah kita apabila berjuang dalam menegakkan agama Allah ini, kita perlu berjuang dalam pelbagai lapangan untuk menghadapi musuh kita. Dan paling penting kita kene patuh kepada pemimpin kita. Akhirnya semua beredar untuk bersedia untuk berbuka puasa.Alhamdulillah, kami dapat pengajaran ‘live ‘ petang itu.

Tugas mendidik adalah tugas mulia di sisi Allah walaupun rumit dan memerlukan banyak pengorbanan dan persiapan. Ketua usrah hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan diri sendiri. Kita hendaklah sentiasa menggantungkan setinggi-tinggi harapan kepada Allah agar dibekalkan dengan kekuatan untuk terus bekerja dan berjihad untuk Islam. Janji Allah memang benar. Sesiapa yang menolong Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan meninggikan kedudukannya.